23 OKT : Projek perumahan Felcra di FGV Ladang Tembangau yang dibatalkan selepas Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan sebelum ini, akan diteruskan semula dalam usaha membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, projek yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 1.2 hektar itu diluluskan semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan beliau sendiri telah merasmikan majlis pecah tanah projek berkenaan.
“Saya dimaklumkan selepas projek dibatalkan, kerajaan negeri Pahang telah mengambil alih semula tanah kerana ia milik kerajaan negeri.
“Saya telah bertemu dengan Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) untuk bertanya jika projek itu hendak diteruskan semula, dan beliau akan pertimbangkan.
“Selain itu, saya juga telah bertemu dengan pihak Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) supaya mengambil alih projek itu dan mereka juga bersetuju untuk meneruskan projek perumahan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Moh Ngeteh Bersama Komuniti Gugusan Tambangau di FGV Ladang Tembangau 3 di Bera semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera turut berkata projek perumahan itu dilaksanakan bagi meringankan beban peserta Felcra memiliki rumah kerana bayaran boleh dibuat secara ansuran atau melalui pemotongan dividen.
Pada perkembangan berkaitan, beliau juga meminta supaya pihak pengurusan ladang dapat memberi sedikit kelonggaran kepada pekerja yang sudah berpencen supaya tidak perlu ‘segera’ keluar dari rumah pekerja yang disediakan.
“Saya percaya dalam masa dua, tiga bulan berpencen, susah untuk mereka mencari rumah baru. Saya harap pekerja yang berpencen ini boleh diberikan grace period , atau tempoh sementara untuk duduk mungkin dua atau tiga bulan sebelum dapat mencari rumah lain,” katanya.
Pada majlis itu, Ismail Sabri juga meluluskan peruntukan RM200,000 untuk pembinaan balai lintang Masjid Felda Tembangau 3 bagi kemudahan penduduk dan musafir yang singgah di situ.