24 OKT : Cadangan melantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak dilihat sebagai pendekatan yang lebih baik berbanding cadangan menambah jawatan TPM dari kaum-kaum lain atau memperbanyakkan duta bertaraf menteri.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, cadangan itu dilihat mampu menjadi pemangkin bagi pertumbuhan di kedua dua negeri itu termasuk dari faktor ekonomi, infrastruktur, pendidikan, keselamatan, undang undang, dan juga perubahan mental dan budaya masyarakat.
“Luar bandar memerlukan pendekatan pelbagai disiplin. Ekonomi, infrastruktur, pendidikan, keselamatan, undang2, juga perubahan mental dan budaya masyarakatnya.
“Memerlukan seorang yang berpangkat senior untuk mengarahkan menteri2 lain melaksanakan keperluan merubah luar bandar kita.TPM ketika itu adalah menteri koordinator kepada semua kementerian lain.
“Sabah dan Sarawak sangat luas. Memerlukan pendekatan pelbagai disiplin untuk memajukannya.
“Idea seorang TPM bagi setiap negeri ini sebagai menteri koordinator kepada semua kementerian lain bagi mengukuhkan pertumbuhan mereka boleh menjadi pemangkin baru,” katanya menerusi satu hantaran facebook miliknya hari ini.
Beliau juga memetik contoh kaedah pentadbiran yang dilaksanakan selepas negara merdeka apabila Tun Abdul Razak ketika itu TPM dan menguruskan pertumbuhan menyeluruh di luar bandar dengan menubuhkan Kementerian Luar Bandar.