26 OKT : Mangsa helikopter yang dilaporkan terhempas di dalam hutan sempadan Perak-Pahang berhampiran De Garden Enterprise, Cameron Highlands tengah hari tadi, sudah ditemui dengan semuanya dilaporkan selamat.
Lima daripada mereka mengalami cedera ringan manakala seorang patah paha.
Menurut Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.06 petang.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui semua mangsa terbabit kira-kira jam 4 petang.
Ketika operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan, cuaca dilaporkan hujan sekali gus menjadikan operasi berkenaan mencabar.
Terdahulu, sebuah helikopter milik sebuah syarikat swasta dilaporkan terhempas kira-kira jam 1.15 tengah hari.
Difahamkan, helikopter yang membawa pasukan perubatan termasuk doktor itu, dalam perjalanan pulang ke Ipoh dari Lojing, Cameron Highlands.