26 OKT : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan empat menterinya di sini sempena lawatan ke negara itu.
Turut berangkat ke sesi menghadap yang berlangsung di Hotel Shangri-La itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta turut dihadiri isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching.
Menteri Singapura yang hadir pada sesi menghadap itu ialah Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan, Menteri Pendidikan Singapura Chan Chun Sing, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee dan Menteri Pengangkutan S. Iswaran.
Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke sesi menghadap itu diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Ketua Setiausaha Pengangkutan Datuk Isham Ishak.
Selepas sesi menghadap yang berlangsung kira-kira setengah jam itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Tengah Hari yang dihoskan oleh Lee dan isteri. Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong tiba di Singapura semalam bagi mengadakan lawatan negara ke negara jiran terdekat Malaysia itu sehingga Jumaat ini.
Lawatan negara ke Singapura itu mencerminkan hubungan dua hala rapat serta istimewa antara Malaysia dan Singapura bermula sejak 57 tahun lepas.
Pada sebelah petang hari ini, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat ke Majlis Sambutan Negara di Istana serta akan melakukan pertemuan dengan Presiden Singapura Halimah Yacob disusuli Majlis Santapan Negara.