26 OKT : Singapura dan Malaysia telah menyelesaikan kerja-kerja menaik taraf saluran penyambung elektrik antara kedua-dua negara, menurut Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga (EMA) Singapura.
Sejak 1983, saluran penyambung (interconnector) membolehkan pemindahan tenaga secara bersama antara Singapura dan Malaysia jika berlaku gangguan sistem jana kuasa, menurut EMA.
“Dengan kerja-kerja menaik taraf sejak Ogos berjaya dilaksanakan pada tahun ini, saluran penyambung itu kini mampu menampung aliran elektrik dua arah sekitar 1,000 megawatt antara Malaysia dan Singapura.
“Jumlah berkenaan adalah dua kali ganda berbanding kapasiti awal serta meningkatkan ketersambungan tenaga serantau,” menurut EMA dalam satu kenyataan di sini.
Selain sokongan bersama, EMA menjelaskan saluran penyambung itu kini digunakan untuk perdagangan kuasa rentas sempadan di bawah Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP).
LTMS-PIP mengimport sehingga 100 megawatt kuasa hidro boleh diperbaharui dari Laos ke Singapura melalui Thailand dan Malaysia menggunakan sambungan sedia ada.