27 OKT : Saluran paip bagi projek N-OSBL di dalam kawasan Rapid Pengerang meletup hari ini menyebabkan berlakunya kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), Kota Tinggi.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Rengit, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPGB) Masri Ibrahim menerusi satu kenyataan, kejadian jam 3.40 petang itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Menurut Masri, pemadaman awal telah dilakukan oleh pihak bomba dan operasi terkawal pada jam 4.23 petang.
“Seramai tujuh anggota dari BBP Sungat rengit telah dikerahkan ke lokasi sejurus mendapat maklumat mengenai kejadian itu.
“Operasi pemadaman turut diperkasakan dengan penglibatan tujuh anggota Pasukan Keluaran Operasi dari BBP Sebana Cove serta tiga buah jentera bomba yang digerakkan bersama,” katanya.
Sementara itu, Komander Insiden dari Petronas Refinery and Petrochemical Corporation (PRPC) Sendirian Berhad dalam kenyataan berkata, kebakaran dan letupan itu berlaku di salah satu paip penyambung yang terletak di Kompleks Bersepadu Pengerang.
Katanya, Pasukan Tindakan Kecemasan (PRPC) telah digerakkan lebih awal bagi membendung kemarakan api.
Tambahnya, semua pihak berkuasa dan agensi berkaitan telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, dan kejadian itu tidak membawa ancaman segera kepada masyarakat sekitar.
“Kebakaran telah dipadamkan sepenuhnya pada 4.50 petang,” katanya.
Kompleks Bersepadu Pengerang itu pernah mengalami insiden letupan yang mengorbankan lima nyawa, pada dua tahun lalu.