27 OKT : Bilangan kes wabak Ebola yang disahkan di Uganda meningkat kepada 109 orang dan sudah meragut 30 nyawa setakat ini.
Sejumlah 15 daripada kes yang disahkan adalah dalam kalangan pekerja kesihatan, dengan enam daripadanya meninggal dunia.
“Lima pusat rawatan sudah beroperasi, manakala sebuah lagi sedang ditubuhkan.
“Kementerian Kesihatan dengan sokongan daripada rakan kongsi sedang menyediakan kemudahan rawatan tambahan di padang sukan Mulago.
“Pusat rawatan baharu yang akan beroperasi kelak akan meningkatkan bilangan katil yang bersedia untuk merawat pesakit Ebola kepada 351,” kata kata Menteri Kesihatan, Jane Ruth Aceng sambil menambah kerajaan kini sedang menubuhkan pusat rawatan tambahan.
Virus yang menular di Uganda itu adalah jenis strain Ebola Sudan yang agak jarang berlaku.
Aceng berkata, kementeriannya akan menilai keberkesanan tiga vaksin Ebola Sudan dalam tempoh beberapa minggu akan datang dengan satu daripadanya dibangunkan oleh Universiti Oxford, manakala dua lagi dibangunkan oleh Institut Vaksin Sabin di Amerika Syarikat (AS) dan pengeluar ubat AS, Merck & Co.
“Objektif utama adalah untuk menilai keberkesanan vaksin ini untuk melindungi pesakit utama wabak berkenaan dalam tempoh 29 hari selepas dijangkiti.
“Kami menganggarkan mungkin memulakan percubaan dalam tempoh dua minggu,” kata Aceng.
Kali terakhir Uganda melaporkan wabak Ebola strain Sudan ialah pada 2012, diikuti penularan strain Zaire pada 2019.