28 OKT : Lawatan negara Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Singapura mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan republik itu yang terjalin sejak 57 tahun lalu.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata ini kerana Al-Sultan Abdullah selaku ketua negara menunjukkan kepakaran dalam hubungan diplomasi yang baik dengan barisan pemimpin Singapura.
Beliau berkata, baginda berupaya membincangkan isu semasa berkaitan antara kedua-dua negara, malah pada masa sama turut memberi kaedah penyelesaian melalui mekanisme sedia ada.
“Keupayaan Yang di-Pertuan Agong dalam urusan diplomasi cukup menyerlah, kerana baginda mendapat pendedahan khususnya dalam bidang hubungan antarabangsa ketika belajar di United Kingdom selepas Royal Military Academy Sandhurst.
“Ia juga ketika Al-Sultan Abdullah menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pernah menjadi jawatankuasa eksekutif kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asian (AFC).
“Pengalaman baginda ini memberi titik perbualan antara ketua negara dan pemimpin Singapura seperti Perdana Menteri, Lee Hsien Loong,” katanya kepada Bernama dan RTM bagi merumuskan lawatan negara itu di sini.
Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengadakan lawatan negara ke Singapura bermula Selasa lalu hingga hari ini.
Lawatan negara itu juga atas undangan Presiden Singapura, Halimah Yacob.
Dalam lawatan negara itu, baginda berdua antaranya mengadakan lawatan ke Asian Civilisations Museum dan Edible Garden City pada Selasa lalu, selain mengadakan pertemuan dengan Halimah dan Hsien Loong harinya, serta berangkat ke Majlis Santapan Malam bersama diaspora Malaysia, kelmarin.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan lawatan negara itu amat baik dengan berpeluang mengadakan pertemuan kali kedua bersama Halimah dan Hsien Loong pada tahun ini.
“Apa yang menarik adalah keupayaan baginda bersama Raja Permaisuri Agong berbincang secara bersahaja antara ketua negara dan pemimpin Kerajaan Singapura, dengan topik dibincangkan membabitkan isu semasa dan terdahulu.
“Perkara ini menunjukkan keakraban antara kedua-dua pemimpin negara dalam konteks berjiran antara Malaysia dan Singapura,” katanya menambah sesi pertemuan antara baginda dan pemimpin Singapura yang dijadual mengikut ketetapan tertentu dilanjutkan tempoh masanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar berkata, Al-Sultan Abdullah menjemput Halimah mengadakan lawatan negara ke Malaysia sebelum penggal beliau sebagai Presiden Singapura tamat tahun depan.
“Baginda bertitah demikian ketika pertemuan dengan Halimah pada Rabu lalu, namun tarikh lawatan negara Halimah ke Malaysia akan ditentukan kelak,” katanya.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah selamat kembali ke tanah air hari ini, dengan disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Sejurus ketibaan itu, baginda berdua kemudian menerima tabik hormat daripada Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Mejar Abdul Hafizi Abdul Halim dan 103 anggota dengan diiringi tembakan meriam 21 das serta lagu Negaraku.
Istiadat menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka berdua itu disusuli dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah. – BERNAMA