29 OKT : Sebanyak 186 lokasi berisiko berlakunya kepala air akan ditutup mulai November sehingga Januari bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, demikian kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata, Jabatan Mineral dan Geosains juga sudah memberi amaran kepada penduduk setempat supaya tidak melakukan sebarang aktiviti pada musim tengkujuh.
“Saya diberitahu satu-satu peristiwa kepala air berlaku dalam tempoh 30 tahun sekali. Begitu juga kejadian di Baling, Kedah.
“Jabatan Mineral dan Geosains mempunyai ‘hotspot’ atau lokasi panas kawasan berisiko bencana alam dan amaran sudah diberikan kepada penduduk.
“Lokasi yang berisiko itu akan ditutup, termasuk Gunung Stong di Kuala Krai dan Jeram Linang di Pasir Puteh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Ekopelancongan Sumber Asli, di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dilaporkan berkata, pihaknya mengenal pasti 5,500 lokasi ‘hotspot’ banjir di seluruh negara termasuk 186 kawasan berisiko kepala air.