29 OKT : Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari disahkan akan bertanding di kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua dan Ketua Cabang PKR Gombak, dilihat mengetuai misi parti itu untuk ‘berperang’ dengan kumpulan yang dilabelkan ‘pengkhianat’ PKR.
Parlimen Gombak disandang oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meninggalkan PKR pada Februari 2020 bersama sembilan lagi Ahli Parlimen PKR, sekali gus menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh.
Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail pula akan menjadi sandaran parti berkenaan untuk menewaskan penyandang kerusi yang juga bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Zuraida pada PRU 2018 menang di kerusi berkenaan atas tiket PH, namun menyertai kumpulan Azmin meninggalkan PKR pada Februari 2020. Beliau kemudian mengikuti Azmin masuk BERSATU dan kini mengetuai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Media sebelum ini melaporkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi bayangan meletakkan Amirudin sebagai calon kerusi Parlimen Gombak pada PRU15, 19 November ini.
Anwar dilaporkan berkata, pihaknya bersedia menghantar ‘Panglima Selangor’ itu untuk berdepan saingan di kerusi berkenaan.