31 OKT : Gabungan parti politik selain Barisan Nasional (BN) masih bercelaru, selain tiada hala tuju jelas buat rakyat dan negara.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, kestabilan dan kemakmuran begitu mustahak untuk diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) supaya ia dapat menjamin masa depan negara dan rakyat yang lebih baik.
Lebih memburukkan keadaan, katanya apabila pihak lawan masih mencanang dakyah bersifat manipulatif dan berunsurkan kebencian sewaktu berkempen seolah-olah mereka tidak ada idea atau pendekatan lain untuk diketengahkan.
“Dunia diramalkan berdepan kemelesetan ekonomi global tidak lama lagi, maka nasib Malaysia dan anggota masyarakatnya tidak lagi boleh dipertaruh pada ketidakstabilan.
“Usaha dan rancangan Malaysia untuk bangkit sepenuhnya daripada impak pandemik juga tidak dapat dijayakan tanpa kestabilan dan kemakmuran.
“Cara berkempen dan cerita politik mereka masih berkisar politik kebencian, dendam, fitnah, manipulasi serta personaliti dan akan disusuli dengan janji-janji palsu sama seperti PRU terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menggambarkan situasi yang sedang menimpa gabungan parti politik lawannya, Presiden UMNO itu berkata mereka seolah-olah kelihatan seperti takut dengan bayang-bayang sendiri.
Ini kerana, beliau berkata mereka masih dibelenggu dengan kezaliman yang pernah dilakukan terhadap pemimpin BN sehinggakan terdesak melakukan apa sahaja.
“Justeru jujurkah gabungan-gabungan politik ini memasuki arena PRU15 untuk berkhidmat kepada rakyat atau semata-mata ketagih kuasa dan bimbangkan kemenangan BN.
“Fahamilah BN satu-satunya harapan untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran yang akan memanfaatkan setiap anggota masyarakat tanpa mengira ideologi politik,” katanya.