1 NOV : Pengumuman calon Barisan Nasional (BN) malam ini memperlihatkan beberapa nama-nama besar pemimpin UMNO digugurkan daripada tersenarai sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke 15 kali ini.
Antara nama-nama besar yang digugurkan daripada bertanding dalam PRU ke 15 kali ini ialah Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Datuk Seri Shahidan Kasim (Arau) dan Datuk Seri Tajuddin Rahman (Pasir Salak).
Parlimen Ketereh menampilkan muka baharu, Ketua Puteri UMNO Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin, bagi menggantikan Annuar Musa.
Bagi Parlimen Arau pula, Rozabil Abd Rahman telah dipilih sebagai calon BN menggantikan Shahidan Kassim.
Turut digugurkan ialah penyandang Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan digantikan dengan Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan.
Khairul Azwan Harun pula dipilih sebagai calon bagi Parlimen Pasir Salak bagi menggantikan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Selain itu, turut digugurkan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Abd Yazid yang juga merupakan penyandang kerusi Parlimen Kuala Kangsar.
Kerusi tersebut bakal ditandingi penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan, Datuk Maslin Sham Razman yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar.