1 NOV : UMNO Bahagian Jempol bertegas supaya ketuanya, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif terus dikekalkan sebagai calon kerusi Parlimen Jempol dalam Pilihan Raya Umum ke 15 kali ini.
Menurut Setiausahanya, Zamri Omar, ahli di bahagian itu kecewa dengan tindakan Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli yang sebelum ini sudah menyatakan hasrat tidak mahu bertanding.
“Semua pihak sudah sedia maklum, malah beliau pernah bercakap pada mesyuarat bahagian mengenai hasrat tidak mahu bertanding.
“Mohd Salim sudah lama menyusun gerak kerja bagi memperkukuh UMNO bahagian dan sudah bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 ( PRU15).
“Ahli jawatankuasa bahagian yang bermesyuarat semalam mengambil keputusan mahu menutup semua bilik gerakan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Jempol,” katanya pada sidang media hari ini.
Tindakan itu menurut Zamri bukan ancaman kepada parti tetapi ia adalah isyarat bantahan calon yang dicadangkan ditukar pada saat-saat akhir.
Katanya, itu ikhtiar terakhir UMNO bahagian memastikan Mohd Salim dikekalkan sebagai calon Ahli Parlimen Jempol.
Sejak kelmarin tular mengenai 13 bilik gerakan cawangan UMNO Bahagian Jempol yang ditutup selepas mengetahui Mohd Salim tiada dalam senarai calon.