1 NOV : Pendakwah popular, Datuk Kazim Elias bakal bertembung dengan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainuddin apabila diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) akan datang.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan perkara itu dalam majlis pengumuman calon BN di Dewan Tun Hussein Onn malam ini.
Pemilihan Ustaz Kazim, 50, itu dikatakan dibuat bukan hanya kerana popularitinya sebagai tokoh agama dan pelakon tetapi juga kerana pengaruh besar dibawa beliau kepada negeri Perak.
Pada PRU14 lalu, Hamzah memenangi kerusi Parlimen Larut atas tiket BN selepas mengalahkan calon Pas, Abu Husin Mohamad dengan majoriti 4,486 undi.