2 NOV : Masa depan negara perlu diuruskan oleh sebuah kerajaan yang teguh dan Barisan Nasional (BN) telah terbukti mempunyai trek rekod yang terbaik sepanjang mentadbir negara.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, BN tidak seperti pihak lawan yang menabur janji manis kosong, sebaliknya akan melaksanakan pelbagai usaha yang realistik untuk manfaat rakyat.
“Sejak mentadbir Johor dengan majoriti lebih 2/3 pada PRN Johor lalu, BN telah memberikan banyak manfaat kepada rakyat dan negeri Johor.
“Ini termasuk kejayaan Iskandar Malaysia yang merekodkan pelaburan terkumpul RM368 bilion,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.
Sementara itu, Ka Siong turut memuji kesungguhan dan semangat yang diperlihatkan jentera BN dalam Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Negeri Johor yang dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan di Iskandar Puteri.
“Sungguh bersemangat saya malam ini di melihat kehadiran jentera BN pada malam ini bukan sahaja memenuhi stadium tertutup Educity, malahan semangat berkobar-kobar para jentera dengan laungan kuat “Hidup BN” menggegarkan stadium.
“Dato’ Sri Utama Ir Hj Hasni Mohammad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Johor memuji kekuatan jentera BN Negeri Johor yang tidak pernah menghampakan rakyat.
“Gendang sudah dipalu dan jentera BN telah bersiap-sedia untuk menumpaskan lawan di medan PRU-15,” katanya.