2 NOV : Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah hari ini menegaskan surat akujanji yang sedang tular di media sosial itu adalah palsu dan tidak benar sama sekali.
Menurutnya dalam satu kenyataan, penularan akujanji palsu itu ternyata suatu usaha jahat daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dan jelas satu perancangan memburukkan UMNO dan BN disaat kehangatan PRU15 ini.
“Saya amat kesal dengan permainan politik sebegini. Tiada sebarang akur janji sebegini dilakukan.
“Disahkan bahawa akujanji yang disebarkan dan sedang viral ini adalah palsu dan tidak benar,” tegasnya.
Kandungan surat itu antaranya mensyaratkan calon memberi jawatan kabinet utama kepada wakil BN dan UMNO yang diarahkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Selain itu, calon juga perlu bersetuju menggugurkan kes-kes mahkamah yang melibatkan kepimpinan UMNO dan BN.
Beliau seterusnya memohon rakyat Malaysia agar tidak terpengaruh dengan sebaran surat akujanji palsu itu.
Manakala Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan perbuatan itu usaha yang terdesak.
“Usaha fitnah yang gagal. UMNO, BN tidak akan tewas dengan fitnah seperti ini lagi kerana kami sudah tahu taktik kotor pihak mereka.
“Jangan terpedaya kali ini seperti PRU14. Cukuplah sekali ditipu. Ya, jangan ditipu kali kedua,” ujarnya.