2 NOV : Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim, menarik diri daripada bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Larut.
Perkembangan itu disahkan Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika mengumumkan calon-calon BN di Ipoh, hari ini.
Berikutan penarikan diri Mohd Kazim, Saarani turut mengumumkan penggantinya iaitu Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud.
Penarikan diri Mohd Kazim dikatakan dimaklumkan beliau sendiri kepada UMNO Perak pagi ini.
Setakat ini, punca sebenar penarikan diri Mohd Kazim tidak diketahui namun ia berkemungkinan ada kaitan dengan pencalonan abangnya, Kapten (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau, mewakili Perikatan Nasional (PN).
DUN Batu Kurau adalah salah satu daripada tiga DUN yang terletak di dalam Parlimen Larut. Dua lagi ialah Selama dan Kubu Gajah.
Pencalonan Ustaz Kazim diumumkan sendiri Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pengumuman Bakal Calon Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam.
Pemilihan tokoh agama itu berdasarkan populariti dan pengaruhnya di negeri Perak yang dirasakan sesuai untuk berdepan calon PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Larut.