3 NOV : Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan ditembak sewaktu mengadakan perarakan protes menuju ke Islamabad di Gujranwala pada Khamis.
Menurut laporan media tempatan, beliau mengalami kecederaan akibat kejadian tersebut dan telah dikejarkan ke hospital.
Suspek yang melepaskan tembakan tersebut bagaimanapun berjaya dikesan dan ditangkap oleh pihak berkuasa.
Ketika kejadian, Imran sedang berdiri di atas sebuah trak kontena sebagai memprotes menentang kerajaan Shehbaz Sharif.
Menerusi rakaman video yang dikongsikan di media sosial, Imran ditembak beberapa minit selepas keluar dari kereta jenis SUV berwarna hitam dan sedang berucap di atas bumbung trak.
Insiden yang berlaku kira-kira 200km dari Islamabad itu turut mengimbau peristiwa hitam yang berlaku melibatkan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto yang ditembak mati sewaktu perhimpunan pada 2007.