3 NOV : Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan wujud modus operandi penjualan ganja dalam cecair rokok elektronik (vape).
Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin dalam satu kenyataan berkata, PDRM kini sedang mengambil tindakan bagi membanteras penjualan ganja menerusi vape.
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menurutnya telah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dalam bentuk cecair vape di sekitar Lembah Klang pada 15 Oktober lalu.
Dalam operasi tersebut PDRM telah menyita dadah serta harta bernilai RM3.47 juta serta berjaya menahan tujuh tujuh suspek di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.
“PDRM serius dalam pembanterasan segala aktiviti melibatkan pengedaran dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Jelas beliau, tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak terlibat dalam apa juga aktiviti yang melibatkan bahan larangan ini.
“Masyarakat diseru agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka melalui hotline JSJN di talian 012-208 7222,” jelasnya