3 NOV : Kepimpinan UMNO di semua peringkat termasuk yang digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) diseru merapatkan saf sebagai satu pasukan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dalam pilihan raya menjadi satu perkara biasa sekiranya terdapat nama baharu serta nama lama yang dicalonkan, serta ada juga pemimpin lama yang tidak disenaraikan semula.
“Justeru, saya menyerulah kepada seluruh kepimpinan UMNO di semua peringkat di semua kawasan Parlimen agar dapat berada dalam saf kepimpinan UMNO untuk meneruskan pilihan raya PRU15 atas pasukan BN.
“Bukan saja UMNO, semua pun akan ada perkara yang sama, jadi kita kena cari jalan macam mana nak selesaikan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas hadir Program Pemantapan Sahsiah Diri di Dewan Tunku Putra di Kuala Nerang, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai tindakan sebilangan kepimpinan UMNO yang digugurkan dari senarai calon BN dijangka bertanding di atas tiket parti lain seterusnya bertembung dengan calon BN sendiri pada PRU15.
Mahdzir berkata, pimpinan terbabit diharap tidak terlalu memikirkan perkara-perkara yang boleh merosakkan atau menjejaskan BN itu sendiri pada kemudian hari.
Pada majlis pengumuman calon BN kelmarin, empat menteri Kabinet Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, digugurkan sebagai calon PRU15.
Mereka adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Arau); Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (Ketereh); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara); dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).
Mengulas mengenai senarai calon keseluruhan yang ditampilkan BN kali ini, Mahdzir menyifatkannya sebagai seimbang.
“Yalah ada orang lama, ada pemimpin muda dan ada pemimpin lama tapi baru pertama kali bertanding dan ada juga wanita, jadi saya ingat ada walaupun tak memenuhi hasrat wanita ataupun 30 peratus tapi ada wanita yang dibawa untuk menjadi calon di merata negeri jugalah, sama ada di DUN atau parlimen”, kata Mahdzir.