4 NOV : Gempa bumi sederhana kuat melanda Izmir, wilayah barat Turkiye, sebentar tadi menyebabkan penduduk setempat panik seketika.
Setakat ini menara sebuah masjid dilaporkan tumbang manakala dua orang cedera ketika cuba menyelamatkan diri dari rumah masing-masing.
Presidensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan, AFAD, berkata gegaran magnitud 4.9 pada skala Richter itu berpusat di daerah Buca di Izmir, dirasai pada jam 3:29 pagi waktu tempatan, diikuti beberapa gegaran susulan.
Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu, menerusi ciapan Twitter, berkata sekurang-kurangnya dua orang cedera apabila terjun dari kedudukan tinggi ketika cuba meninggalkan kediaman masing-masing.
Datuk Bandar Izmir, Tunc Soyer, berkata tiada aduan kerosakan besar, selain laporan menara sebuah masjid tumbang.
“Selain suasana panik, ketakutan dan kejutan dialami penduduk tempatan, kami tidak menerima sebarang laporan negatif,” katanya kepada stesen televisyen HaberTurk.
Gempa terbaru itu berlaku beberapa hari selepas Izmir memperingati mangsa gempa bumi sebelum ini berukuran 6.6 yang meragut nyawa 117 mangsa pada 30 Oktober 2020.
Sementara itu gempa bumi magnitud 6 pada skala Richter melanda El Salvador malam tadi tetapi pihak berkuasa tidak menerima sebarang laporan mengenai kerosakan harta benda atau kecederaan.
Gegaran berlaku pada jam 10:26 malam waktu tempatan dan pusat gempa dikesan pada kedudukan 37 kilometer (km) di luar pesisir pantai selatan negara itu, dekat pekan Mizata di La Libertad, kata Kementerian Alam Sekitar dalam satu kenyataan.