5 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan seorang lelaki yang amat bertuah kerana dianugerahkan seorang isteri yang menjadi peneman setia dan sentiasa memberi sokongan ketika susah dan senang.
Datin Seri Muhaini Zainal Abidin yang turut menemani Ismail Sabri ke pusat penamaan calon di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera pagi tadi jelas begitu merendah diri, sederhana dan ‘simple’ serta tidak menonjolkan diri.
Muhaini pada awalnya berarak bersama suaminya dan penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) dari Dataran Kerayong tidak berganjak dan setia menunggu dari pukul 9 pagi sehingga 11.45 pagi bersama penyokong di luar dewan tersebut
Beliau tidak berharap diberikan layanan istimewa apabila beliau tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan tempat penamaan calon diadakan.
Ketika ditemui pemberita, mulutnya tidak pernah lekang mendoakan perjalanan politik Ismail Sabri sentiasa dipermudahkan termasuk mencurahkan khidmat bakti kepada rakyat khususnya di Bera.
“Saya sentiasa doakan beliau dapat meneruskan cita-cita membantu rakyat di Bera. Saya sangat bersemangat untuk memberi sokongan moral kepada suami saya dan harapan saya sudah tentu mahu Datuk Seri Ismail Sabri berjaya memenangi kerusi Parlimen Bera untuk penggal kelima,”ujarnya.
Hadir sama memberi sokongan kepada Perdana Menteri di Bera ialah anak-anak beliau termasuk Datin Sabrina serta Dafi yang juga artis terkenal.