6 NOV: Sehari selepas penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke 15 (P RU15) semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memulakan sesi kempennya di Pasar Sehari Kerayong, di Bera pagi ini.
Sebilangan pengunjung dan peniaga pasar berkenaan yang menyedari kehadiran calon Parlimen Bera itu tidak melepaskan peluang bersalaman, berbual dan ada mengambil kesempatan berfoto bersama Ismail Sabri.
Turut bersamanya calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN N37 Guai, Datuk Sabariah Saidin.
Menariknya mereka turut bertembung dengan calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen P090 Bera, Abas Awang yang turut berkempen meraih sokongan di pasar tersebut.
Walaupun bersaing bagi kerusi Bera, Perdana Menteri turut meluangkan masa berbual dengan pencabarnya itu.
Beliau turut bertanya khabar dua lagi calon PH bagi kerusi DUN N37 Guai Noraini Abdul Ghani dan N38 Triang, Leong Yu Man.
Ismail Sabri kemudian meneruskan tinjauan dan beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung di pasar sehari itu.
Tengahari tadi beliau menghadiri
Kenduri Rakyat Bersama Komuniti Bandar Kemayan, sebelum ke FELDA Bukit Mendi, Kampung Sungai Tuang dan Kampung Mengkarak.