6 NOV : Biarpun menjadi calon termuda di parlimen Ampang, namun Ivone Low Yi Wen, 29 berkata, ia bukan halangan buatnya kerana beliau mempunyai kekuatan tersendiri.
Malah jelasnya, beliau bukan orang muda yang tiada pengalaman kerana telah memulakan kerja-kerja politik dan khidmat bakti kepada masyarakat setempat sejak berusia 18 tahun.
“Saya faham ketiga-tiga (calon parti) mereka ada kekuatan berdasarkan pengalaman. Saya sebagai anak muda terutamanya ada kecergasan dan kekuatan sendiri dengan prinsip nilai-nilai murni dibawakan BN dan MCA.
“Justeru, anak muda seperti kami ini akan buat yang terbaik dan tidak akan mengkhianati rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Yi Wen turut berkata, segala khidmat bakti yang dilakukan selama ini adalah mencontohi mendiang datuknya yang turut membantu penduduk di kawasan Ampang Campuran.
“Inspirasi saya menceburi politik adalah mendiang datuk yang sentiasa bekerja keras terutama di kawasan Kampung Ampang Campuran (sewaktu masih hidup).
“Kerja-kerja yang dilakukan semasa masih kecil menjadi inspirasi kepada saya untuk menjadi pemimpin, beri khidmat bakti kepada rakyat. Bukan bertanding untuk menjadi yang berhormat, tetapi yang berkhidmat,” jelasnya.
Kerusi Parlimen Ampang menyaksikan pertembungan sembilan penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali imembabitkan ipenyandang Datuk Zuraida Kamaruddin (Parti Bangsa Malaysia), Rodziah Ismail (Pakatan Harapan), Dr. Nurul Ashikin Mabahwi (Parti Pejuang Tanah Air), Shasha Lyna Abdul Latiff (Perikatan Nasional), Bryan Lai Wai Chong (Parti Pejuang) serta tiga calon Bebas, M. Raveendran, Tan Hua Meng dan Muhammad Shafiq Izwan Mohd. Yunos.