7 NOV : Empat pemimpin UMNO yang menjadi calon parti lawan dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) telah tergugur keahlian UMNO mereka secara automatik.
Setiausaha Agung, Datuk Ahmad Maslan menerusi satu kenyataan hari ini mengesahkan perkara tersebut.
Empat pemimpin UMNO yang tergugur keahliannya itu ialah Datuk Zahidi Zainul Abidin yang bertanding sebagai calon bebas bagi kawasan Padang Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim di Parlimen Arau, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib di Parlimen Maran dan Datuk Azhar Ahmad bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)Kuala Perlis.
“Pengguguran keahlian keempat-empat mereka ini adalah selaras dengan Fasal
2O.11 Perlembagaan UMNO yang dengan jelas menyebut “Seseorang ahli yang menang bertanding dan meninggalkan parti, atau bertanding sebagai calon bebas atau parti lawan, dalam pilihan raya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri akan gugur keahlian dengan sendirinya.
“Dengan pengguguran keahlian ini, jawatan mereka di peringkat UMNO Bahagian akan dipangku oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang berkenaan,” kata Ahmad Maslan dalam kenyataan tersebut.
Katanya lagi, UMNO juga ingin menegaskan, beberapa ahli lain termasuk mereka yang dlihat mengiringi keempat-empat calon berkenaan semasa proses penamaan calon yang boleh disifatkan sebagai menyokong calon parti lawan, kini sedang dalam proses siasatan sebelum tindakan lanjut diambil.