7 NOV : Dua beranak antara tujuh individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dalam beberapa serbuan di sekitar bandar raya ini pada 3 dan 4 Nov lepas.
Lelaki berusia 47 tahun yang dipercayai dalang sindiket itu dan anak lelakinya berusia 17 tahun ditahan pihak polis secara berasingan bersama lima yang lain di sekitar Taman Pelangi, Ulu Tiram dan Pelangi Indah, Johor Bahru.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua tujuh individu itu merupakan warga tempatan yang terdiri daripada empat lelaki, seorang remaja lelaki dan dua remaja perempuan berusia antara 17 hingga 47 tahun.
“Polis turut merampas 216 kilogram ganja bernilai RM540,257, 13.11 gram ketamin bernilai RM1,966 dan 30 biji pil ekstasi bernilai RM450 dengan keseluruhan rampasan dadah berjumlah RM542,674,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata modus operandi sindiket itu adalah mendapatkan bekalan dadah dari negeri utara dengan menggunakan perkhidmatan kurier.
Menurut Kamarul Zaman, sindiket yang dipercayai aktif sejak Ogos lepas itu didapati menyewa dua rumah dengan satu daripadanya dijadikan stor penyimpanan dadah manakala aktiviti pembungkusan dilakukan di pangsapuri sebelum dadah diedar di negeri ini.
Beliau berkata selain dadah, polis turut menyita dua kereta, sebuah motosikal dan wang tunai RM5,000.
Katanya hasil saringan air kencing mendapati enam daripada mereka positif terhadap dadah jenis THC dan methamphetamine manakala seorang daripada mereka juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Kesemuanya kini direman hingga 11 Nov ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.