7 NOV : Syarikat induk Facebook, MetaMeta Platforms Inc merancang memulakan pemberhentian pekerja dalam skala yang besar minggu ini, lapor Jurnal Wall Street semalam yang memetik sumber terdekat dengan pengumuman dijangka dibuat seawal Rabu ini.
Meta bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung laporan berkenaan.
Pada Oktober, Meta meramalkan suku tahun yang lemah dan kos lebih ketara pada tahun depan, kira-kira AS$67 bilion (RM318 bilion) daripada nilai pasaran sahamnya.
Ia menyebabkan pertambahan lebih setengah trilion dolar AS bagi jumlah kerugiannya tahun ini.
Tinjauan yang mengecewakan itu hadir ketika Meta bergelut dengan pertumbuhan ekonomi global yang bergerak perlahan, selain persaingan daripada TikTok, perubahan privasi oleh Apple dan ancaman peraturan yang sentiasa ada.
Ketua Eksekutifnya, Mark Zuckerberg, menjangkakan pelaburan metaverse mengambil masa kira-kira sedekad untuk membuahkan hasil.
Dalam tempoh itu, beliau terpaksa membekukan pengambilan pekerja, memberhentikan projek dan menyusun semula pasukan pekerjanya untuk mengurangkan kos.
“Pada 2023, kami akan menumpukan pelaburan pada sebilangan kecil bahagian pertumbuhan keutamaan tinggi. Jadi ini bermakna sesetengah pasukan akan berkembang dengan pesat, tetapi kebanyakan pasukan lain akan berada pada keadaan sama atau dikecilkan sepanjang tahun depan.
Secara agregat, beliau menjangkakan bakal menamatkan 2023 sama ada dengan saiz yang sama, atau organisasi yang lebih kecil sedikit daripada operasi sedia ada.
Jun lalu, syarikat media sosial itu bertindak mengurangkan pengambilan jurutera sekurang-kurangnya sebanyak 30 peratus dengan Zuckerberg memberi amaran kepada pekerjanya supaya bersiap sedia menghadapi kemelesetan ekonomi.
Pemegang saham Meta, Altimeter Capital Management dalam surat terbuka kepada Zuckerberg sebelum ini berkata, syarikat itu perlu membuat penyelarasan dengan mengurangkan pekerja dan perbelanjaan modal.
Tambahnya, Meta telah kehilangan keyakinan pelabur apabila ia meningkatkan perbelanjaan dan beralih kepada metaverse.
Selain Meta, beberapa syarikat teknologi, termasuk Microsoft Corp, Twitter Inc dan Snap Inc telah melaksanakan pemberhentian dan mengurangkan pengambilan pekerja dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.
Langkah itu diambil susulan pertumbuhan ekonomi global yang semakin perlahan disebabkan kadar faedah menjadi lebih tinggi, inflasi yang meningkat dan krisis tenaga di Eropah.
Pada hujung bulan lalu, Pengasas Facebook, Zuckerberg mengumumkan nama syarikat induk ditukar kepada Meta untuk melambangkan masa depan yang melangkaui rangkaian media sosial itu.