7 NOV : Calon kerusi Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed mahu membawa konsep politik matang dalam kempennya untuk merampas semula kerusi parlimen berkenaan dalam Pilihan Raya Umun ke 15 kali ini.
Nur Jazlan yang pernah menyandang kerusi Parlimen Pulai selama tiga penggal, menolak politik dendam dan tidak beretika dalam meraih semula kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).
“Saya menolak budaya politik dendam, politik gangster dan politik tak beretika. Kita mahu berkempen dengan budaya berhemah, pendekatan bijak dan akhirnya, dapat kemenangan dengan cara terpuji.
“Dalam kempen PRU15 ini, saya menekankan pada kempen yang membawa perpaduan, pembangunan dan kebajikan rakyat serta mampu memenangi hati sesiapa saja, tak kira perbezaan agama, kaum mahupun ideologi politik.
“Ini kerana saya amat faham sekali, dalam era dunia tanpa sempadan ini, pengundi juga sudah berfikiran matang dan terbuka.
“Mereka tak mahu lagi politik adu domba, caci maki, budaya samseng dan khianat kepada parti lawan,” katanya ketika program bertemu masyarakat di Medan Selera Taman Cempaka, di Johor Bahru hari ini.
Tambah Nur Jazlan yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor, beliau juga sudah berpesan kepada semua jentera parti supaya tidak bertindak mengikut emosi dalam keghairahan berkempen untuk merampas Parlimen Pulai.
“Segala tindakan perlu berpandukan rasional, kesopanan dan penuh tatasusila.
“Saya mahu tenaga kerja parti dan sukarelawan mengamalkan budaya politik matang dan menjauhkan diri daripada budaya provokasi, maki hamun, fitnah memfitnah dan melakukan serangan peribadi.
“Biarlah kita berkempen mengikut tatasusila kita orang timur. Kempen melalui poster, media sosial, bertemu mata dengan pengundi dan menerangkan apakah yang kita mahu sumbangkan kepada masa depan pengundi,” ujarnya.
Katanya lagi, kestabilan, kemakmuran dan keharmonian bagi ekonomi, pengundi serta masyarakat Pulai keseluruhannya adalah agenda utama beliau untuk PRU15.
“Saya memiliki misi besar untuk melihat kawasan Parlimen ini kembali menempuh pelbagai limpahan pembangunan, peluang pekerjaan, ekonomi dan kekuatan perpaduan, seiring dengan kemajuan yang dikecapi negara jiran, Singapura,” katanya.
Pada pilihan raya umum kali ini, Nur Jazlan akan menentang penyandang kerusi Parlimen Pulai, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan calon Perikatan Nasional (PN), Loh Kah Yong.
Pada PRU 14, Salahuddin menewaskan Nur Jazlan, yang sudah tiga penggal menyandang Parlimen itu dengan majoriti 28,924 undi.