7 NOV : Barisan Nasional (BN) mengumumkan Perancangan Amal dan Usaha BN untuk Malaysia yang tercinta (PADU) sebagai satu tawaran baharu yang segar daripada parti itu kepada rakyat Malaysia.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, di dalam PADU terdapat 99 Amal dan Usaha BN yang akan menjadi panduan dalam mengemudi tanah air menjadi negara yang maju.
“PADU bukan janji-janji manis dan indah. PADU bukan tentang segala-galanya percuma. PADU bukan tentang pemansuhan dan pengurangan tanggungjawab dalam serba serbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Manifesto BN secara maya malam ini.
Katanya lagi, PADU ialah pelan yang serius dan rasional, mempunyai sasaran yang jelas dan pelan yang BN akan amal dan usahakan dengan sebaiknya demi kemaslahatan semua.
Kata Ahmad Zahid, lima idea besar yang mendasari tawaran utama di bawah PADU iaitu, penyelesaian nasional yang komprehensif bagi menjawab pelbagai isu paling mendesak seperti kos kehidupan dan sara hidup yang tinggi.
“Kedua, PADU mengenai tekad dan nekad BN untuk melakukan beberapa pembaharuan yang radikal dan bersifat struktural dalam negara kita serta ketiga, keterangkuman dan pengiktirafan kerencaman.
“Keempat, PADU satu penggandaan usaha untuk kita meletakkan asas-asas penting untuk mencipta masa depan yang lebih baik untuk semua,” katanya.
Manakala yang kelima, beliau berkata, kejayaan 99 perkara dalam PADU ini bergantung kepada bagaimana BN mengamal dan mengusahakan dengan berstrategi.
Tegas Ahmad Zahid. BN mahu mewujudkan sebuah kestabilan politik dengan membentuk sebuah kerajaan yang kuat serta menguruskan Malaysia supaya menjadi sejahtera dan makmur.
“Kerajaan yang berupaya mengakhiri segala politik jelik dan pelik, lompat melompat, ugut-mengugut dan tekan-menekan. Kerajaan yang akan menoktah segala sandiwara yang membawa ketidakstabilan dan ketidaktentuan dalam politik dan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, PADU ialah pelan yang serius dan rasional, mempunyai sasaran yang jelas dan pelan yang BN akan amal dan usahakan dengan sebaiknya, demi kemaslahatan semua.