7 NOV : Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka tiga kertas siasatan dan melakukan dua tangkapan kerana kesalahan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semalam.
Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali dalam satu kenyataan, Kedah dan Pahang masing-masing merekodkan satu kertas siasatan dan satu tangkapan, manakala baki satu kertas siasatan di Kuala Lumpur.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(A)(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, 427 Kanun Keseksaan (KK), 435 KK, 505 (b) KK serta 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya lagi, statistik harian PRU15 bertarikh 6 November juga menunjukkan pengeluaran 814 permit ceramah di 14 kontinjen. Kontinjen paling banyak permit ialah Sabah dengan 157 disusuli Perak (109) dan Johor (104).
“Sebanyak 81 ceramah tanpa permit pula direkodkan secara keseluruhan. Yang pertama ialah Negeri Sembilan dengan 45, kemudian Perak (16) dan ketiga di Johor dan Pahang masing-masing lima,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, PDRM mengenal pasti enam kesalahan utama yang berkemungkinan berlaku ketika berkempen dan pengundian pada PRU15.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dilaporkan berkata antara kesalahan itu mengoyak poster dan papan tanda parti serta calon yang bertanding, mengeluarkan kata-kata atau perbuatan yang berbaur hasutan dan bergaduh.
Kesalahan lain yang menjadi perhatian polis melakukan demonstrasi, menyebarkan berita palsu melalui media sosial dan internet serta melakukan tohmahan.