7 NOV: Barisan Nasional (BN) akan fokus pada budaya politik bersih, sekaligus segala taktik kotor tidak akan digunapakai sama sekali sewaktu kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Menjelaskan perkara itu, Calon BN Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau tidak akan terikut-ikut dengan budaya Pakatan Harapan (PH) yang gemar melempar tuduhan tidak berasas untuk menjatuhkan imej pesaingnya bagi memenangi PRU.
“Apa-apa tuduhan saya terima saja, fokus kita ialah persaingan yang bersih.
“Saya tak nak main politik kotor. Saya doakan dia juga berjaya (berkempen), kita sama-sama bersaing dengan sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan calon Pakatan Harapan (PH) kerusi P096, Datuk Seri Dr Dzulkelfy Ahmad yang mendakwa Tengku Zafrul berbelanja mewah setiap kali turun ke Kuala Selangor sebelum ini.
Bekas Menteri Kesihatan itu bagaimana pun tidak boleh memandang rendah kepada kelebihan Tengku Zafrul dan ia menjadi cabaran kepada PH untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRU14 lalu.
Tambah Zafrul, biarpun dilemparkan pelbagai tuduhan, namun beliau bersikap berlapang dada dan enggan menyerang balas pesaingnya itu.
“Saya berpandangan Dr Dzul adalah seorang yang baik, tiada apa perkara buruk saya nak cakap pasal dia pun,” katanya.
Sebaliknya Tengku Zafrul mahu menghabiskan tempoh berkempen yang berbaki kurang 13 hari ini dengan memberi fokus kepada tawaran penyelesaian masalah rakyat.
“Kebajikan rakyat dan pembangunan masyarakat, itulah fokus saya,” katanya lagi.