8 NOV : Penduduk di Taman Sri Muda, Shah Alam dinasihat untuk meletakkan kenderaan mereka di kawasan tinggi berikutan hujan lebat berterusan sejak 4 petang Selasa.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi satu kenyataan berkata, tempat letak kereta Pasar Moden Seri Muda juga dibuka untuk orang ramai meletakkan kenderaan.
MBSA juga mengingatkan penduduk agar segera menghubungi Pasukan PANTAS di talian 03-5510581 untuk sebarang kecemasan atau bantuan segera.
Jabatan Pengairan dan Saliran setakat jam 6 petang tadi memaklumkan, empat daerah di Selangor dikenal pasti sebagai lokasi berisiko banjir kilat iaitu Gombak, Petaling, Kuala Selangor dan Sepang.