8 NOV : Perikatan Nasional (PN) dilihat hanya memperalatkan PAS untuk meraih undi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam gabungan PN, BERSATU lebih dominan berbanding PAS walaupun lemah daripada segi jentera di lapangan.
Katanya yang juga Naib Presiden UMNO, ini terbukti apabila jentera PAS hanya akan digunakan BERSATU walaupun potensi parti itu untuk menang adalah tipis.
“Johor yang dianggap kubu kuat BERSATU kerana presidennya pernah menjadi Menteri Besar juga turut kecundang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dan mengheret PAS bersama dalam kekalahan itu.
“Dalam PN, yang untung adalah BERSATU dan jika di Bera, mereka tidak ada jentera yang kuat dan memerlukan bantuan ahli PAS untuk berkempen.
“PAS juga tidak belajar daripada kekalahan yang berlaku dalam beberapa PRN Melaka dan Johor apabila tidak ada kerusi yang dimenangi mereka.
“Walaupun pelbagai janji ditabur seperti dalam PRN Melaka tapi PN tetap ditolak dan PAS menjadi mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Kenduri Rakyat di Kampung Bohor Baru di Kuala Bera, hari ini.
Majlis berkenaan dihadiri lebih 500 penduduk Kampung Bohor Baru yang turut berkesempatan beramah mesra bersama Ismail Sabri.
Ismail Sabri yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bera berkata, penyokong PAS perlu sedar taktik licik berkenaan dan menyeru undi diberikan kepada BN jika tiada calon parti itu dipilih di kawasan ditandingi PN.
“Jika PAS masih berharap BERSATU boleh bawa kemenangan (dalam PRU15), tapi mungkin sebenarnya ia hanya akan menyebabkan PAS kecundang,” katanya.