8 NOV : Barisan Nasional (BN) diyakini mampu kembali merampas parlimen Tenom daripada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.
Ini kerana menurut calonnya, Jamawi Jaafar berkata, ramai pengundi di parlimen berkenaan tidak berpuas hati dengan pentadbirannya selepas PRU-14, sekali gus ia menjadi kelebihan buat BN.
“Parti DAP mewakili PH semasa selepas 2018, walaupun jadi kerajan dalam masa 22 bulan, tetapi tidak dapat laksanakan sebarang pembangunan di kawasan Tenom ini. Pengundi tidak nampak apa yang disumbangkan oleh PH, dan kebanyakan program untuk anak muda gagal disediakan.
“Ini rungutuan yang saya banyak terima di kawasan parlimen Tenom ini, sudah pasti ia memberi kelebihan kepada BN dan kita boleh memberi khidmat bakti yang lebih baik sekiranya dipilih untuk menjadi wakil rakyat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jelas Jamawi lagi, beliau bukanlah orang asing di kawasan tersebut kerana telah memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Tenom pada 21004 dan menjadi Ketua Pemuda pada 2008.
“Maknanya, orang ramai boleh menilai kerja yang saya sudah lakukan, mendampingi masyarakat. Saya sudah 18 tahun aktif di kawasan ini, jadi penerimaan masyarakat terhadap saya sangat baik sebenarnya,” tambahnya.
Katanya setakat hari ini, beliau telah pergi hampir separuh Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan akan diteruskan sehingga hari mengundi 19 November ini.
Sebagai penambahbaikan, Jamawi turut berharap lantikan Timbalan Perdana Menteri daripada masyarakat Sabah akan tercapai, dengan meletakkan portfolio bersesuaian iaitu sama ada menteri Pendidikan mahupun Luar Bandar.