9 NOV: Kerajaan mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk melaksanakan Bajet 2023 yang dibentangkan sebelum ini.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ini kerana bajet yang dirangka itu mengambil kira sumber kewangan yang ada, sekali gus ia boleh dicapai dan bukan sekadar janji manis seperti yang Pakatan Harapan (PH) lakukan sebelum ini.
“Tiap kali bajet dibentangkan, kita bentangkan berdasarkan sumber kewangan yang ada pada kerajaan, ini beza dengan pembangkang yang bentangkan manifesto tanpa bersandarkan daripada apa-apa sumber kewangan”
” Ini berlaku pada PRU-14, mereka bentangkan bajet dengan janji pelbagai kerana mereka tidak tahu yang mereka tidak mampu pun bentangkan manifesto.
“Dan ternyata mereka menang, mereka gagal laksanakan kerana tiada ada bajet dan sebagainya.
“Tetapi bajet yang kita janjikan berdasarkan sumber kewangan, mencukupi dan boleh dilaksanakan bila bajet dilulus selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau pasar malam di Durian Tunggal, Alor Gajah, hari ini.
Beliau mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan tidak mempunyai kewangan yang cukup untuk melaksanakan bajet tersebut serta manifesto BN.
Turut hadir dalam program itu, calon BN parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Mohd Ali.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, bagi membolehkan bajet itu dilaksanakan, masyarakat perlu mengundi BN terlebih dahulu.