9 NOV: Pemerhati ekonomi melihat manifesto yang digariskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah realistik dan menyeluruh namun memerlukan pentadbiran yang cekap untuk pelaksanaannya.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata initipati BN pada manifesto kali ini juga tidak menjanjikan bulan bintang kepada rakyat.
“Manifesto BN ini yang kita nampak tidak janji bulan bintang tapi lebih kepada realistik. Ia relevan, boleh dilaksanakan tapi perlu telus bagaimana pelaksanaannya dan rakyat perlu minta penerangan ini,” katanya kepada BBC Portal.
Menyentuh soal bantuan bulanan secara automatik untuk isi rumah berpendapatan kurang RM2.208, beliau melihat ia penting bagi memastikan golongan B40 yang disasarkan mempunyai pendapatan yang cukup setiap bulan.
“Apabila mengambil kira persediaan untuk prospek ekonomi yang agak perlahan tahun depan, inti utama manifesto ini memfokus kepada memastikan rakyat terutamanya B40 itu mempunyai cukup pendapatan dan tidak dilupakan golongan M40 dari segi potongan cukai untuk memastikan kuasa membeli itu meningkat.
“Kalau kita nak fokuskan kepada tawaran ini, mendapat pendapatan bulanan (bantuan automatik), potongan cukai, ia merupakan kesinambungan yang diberikan kerajaan sebelum ini yang berbentuk bantuan Keluarga Malaysia cuma bantuan itu ‘one off’ tapi (bantuan) kos sara hidup ini setiap bulan. Jadi, kita tidak tertunggu-tunggu bila bantuan akan datang tapi jaminan dapat bantuan setiap bulan,” katanya.
Namun katanya, rakyat perlu faham bahawa setiap bantuan itu memerlukan kos dan perlu mengetahui sumber kos tersebut.
“Cuma sebagai rakyat kita kena faham bahawa setiap tawaran dijanjikan itu ada impak atau kosnya yang kita tidak tahu sama ada ia hanya boleh dilaksanakan dengan pelaksanaan kembali GST atau meningkatkan kadar cukai untuk perniagaan atau cukai T20.
“Jadi kalau lihat dari sudut menerima bantuan itu adalah bagus namun kita kena dapatkan maklumat yang menyeluruh dari mana wang itu akan datang. Analoginya seperti doktor kata, makan ubat ini akan jadi sihat maka kita seronoklah, tapi rupanya bil RM500,” jelasnya.
Mengulas soal pendidikan tinggi percuma yang ditawarkan, Dr Razman berkata BN perlu merangka ekosistem yang mampan bagi memastikan inisiatif itu tidak akan menjejaskan kualiti pendidikan.
“Pendidikan tinggi percuma itu okay. Saya lebih cenderung jika ekosistem yang mampan dibentangkan juga. Seperti yang saya sebut ia melibatkan kos. Bimbang nanti peruntukan kepada universiti dikurangkan sebab nak beri pendidikan percuma. Nak dapat sesuatu ada yang perlu dikorbankan.
“Apa guna kalau dapat masuk universiti secara percuma tetapi kualiti pendidikan itu makin merosot. Kena ada model yang mampan bagi membolehkan B40 memperolehi pendidikan secara percuma tapi bagaimana nak ditampung kos-kos itu,” katanya.
Sementara pemerhati ekonomi bebas, Dr Bahyah Baba yakin manifesto BN boleh dilaksanakan meskipun bakal berdepan kelembapan ekonomi yang dijangka berlaku tahun depan namun tegasnya, ia memerlukan pentadbiran yang cekap.
Katanya lagi, pendidikan percuma yang digariskan BN itu suatu inisiatif positif dalam memastikan generasi akan datang berpendidikan tinggi sekali gus menangani isu lepasan SPM yang tidak mahu menyambung pengajian seperti dilaporkan sebelum ini.
“Dari segi pendidikan percuma di peringkat universiti sangat baik kerana ini akan menggalakkan orang-orang muda melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Banyak negara yang memberi pendidikan hampir percuma di peringkat universiti.
“Lepas SPM tidak mahu sambung belajar sebab kos, kalau mereka fikir (habis belajar) tiada kerja tapi kena buat pinjaman pelajaran, lebih baik mereka bawa Grab, tak perlu susah-susah nak belajar,” katanya.
Beliau juga menyarankan kerajaan kembali melaksanakan Cukai Barangan dan perkhidmatan (GST) yang menjadi sumber pendapatan negara sebelum ini.
“Saya rasa mungkin elok kerajaan laksana kembali GST kerana ia satu sistem cukai yang telus.
“Jadi orang-orang kaya dan peniaga-peniaga besar tidak dapat mengelak daripada membayar cukai,” katanya.
Namun beliau tidak bersetuju dengan tawaran komputer riba percuma kepada semua pelajar B40 sebaliknya beliau mencadangkan perkara itu disasarkan kepada pelajar di sekolah menengah sahaja. -Oleh NUR EISYA