10 NOV : Kedutaan Moscow di Indonesia memaklumkan Presiden Russia, Vladimir Putin tidak akan menghadiri sidang kemuncak pemimpin G20 di pulau peranginan Indonesia Bali minggu depan.
“Saya boleh mengesahkan bahawa (menteri luar) Sergei Lavrov akan mengetuai delegasi Russia ke G20. Program Presiden Putin masih diusahakan, beliau boleh mengambil bahagian secara maya,” kata Yulia Tomskaya, ketua protokol kedutaan.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, yang menggelar Putin sebagai ‘penjenayah perang’ dan yang akan menghadiri sidang kemuncak itu, sebelum ini berkata, beliau tidak berhasrat untuk bertemu Putin di Bali jika pemimpin itu hadir.
Keputusan itu, yang menyusuli spekulasi berbulan-bulan, dibuat ketika Moscow mengalami kerugian dalam kempen di Ukraine dan ketika Kremlin cuba melindungi dirinya daripada kutukan Barat pada sidang kemuncak 15-16 November.
Satu lagi sumber yang mempunyai pengetahuan mengenai perancangan Russia untuk acara Bali mengesahkan bahawa Putin akan digantikan oleh Lavrov.
Sumber itu berkata, tidak jelas sama ada pemimpin Russia itu akan hadir secara maya.
Diplomat tertinggi Moscow telah keluar daripada mesyuarat menteri luar G20 Julai di Bali selepas pegawai mengecam terang-terangan Russia atas pencerobohannya ke atas Ukraine.
Tuan rumah, Indonesia menjalankan dasar luar yang neutral dan telah menolak seruan Barat untuk menghalang Russia daripada sidang kemuncak itu.
Presiden Indonesia, Joko Widodo, berkata Putin akan dijemput ke sidang kemuncak itu walaupun di sebalik isu pencerobohan yang menyebabkan kritikan Barat bertiup kencang.
Pada bulan Ogos, beliau berkata Putin telah menerima jemputan itu.