11 NOV : Kerajaan yang tidak mendapat mandat rakyat tidak akan bertahan lama seperti Parti Warisan (Warisan), demikian tegas Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, pentadbiran Warisan sebelum ini bukan berdasarkan mandat rakyat tetapi disebabkan ada wakil rakyat yang melompat hingga menyebabkan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu jatuh.
“Selepas kira-kira dua tahun memerintah, Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan kerana Shafie Apdal terpaksa membubarkan kerajaan disebabkan hilang sokongan.
“Inilah bezanya parti yang mendapat mandat selepas wakil rakyat melompat dengan parti yang mendapat mandat rakyat seperti GRS-BN.
“Kerajaan Warisan memerintah bukan sebab mandat rakyat tetapi ada wakil rakyat, terutama UPKO (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu) yang melompat ke Warisan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemimpin bersama Rakyat di Membakut, semalam.
Turut hadir, Pengerusi BN Sabah merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, calon Ahli Parlimen BN di Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Hajiji berkata, muafakat di antara GRS dan BN pada PRN itu akhirnya berjaya dan mendapat mandat rakyat untuk membentuk kerajaan negeri.
“Jadi, sekarang kita sama-sama bersatu hati untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Kita mahu satu kestabilan politik yang kuat. Kita sudah mengalami pelbagai rencah politik dalam masa lima tahun ini,” katanya.