12 NOV : Kerajaan Sarawak masih mempertimbang sama ada mahu mengisytiharkan cuti umum bagi negeri ini pada 18 November, sehari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memandangkan banyak perkara perlu diambil kira termasuk kesan terhadap ekonomi negeri dan tahap produktiviti.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata mengisytiharkan cuti bermakna ia perlu diwartakan.
“Pewartaan cuti umum ini dilihat bukan sahaja menaikkan kos penggajian pekerja, malah menyebabkan berlakunya penurunan terhadap produktiviti dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Sarawakku Sayang, di Dataran Pekan Lingga, hari ini
Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak tidak wajar memberikan cuti umum untuk sesuatu pilihan raya terbabit melainkan bagi perkara mendesak.
“Malah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah pun menetapkan hari mengundi pada Sabtu ini iaitu 19 November,” katanya.
Pada 7 November lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kerajaan mengisytiharkan cuti umum khas itu dan pada Selasa lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata cadangan itu akan dipertimbangkan.
Setakat ini, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang sudah mengumumkan pemberian cuti umum pada 18 November, manakala negeri ini dilaporkan masih mengkaji syor berkenaan.