12 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa pengisytiharan harta bukan sesuatu perkara yang diwajibkan bagi calon yang bertanding pada pilihan raya umum, sebaliknya ia boleh dilakukan atas kerelaan sendiri.
Menurut Ismail Sabri, perkara itu tidak termasuk dalam akta perundangan bagi mana-mana calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen mahu pun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, kini hanya menteri dan timbalan menteri yang dilantik akan diwajibkan untuk mengisytiharkan harta mereka.
“Tak perlu, kita buat perkara yang perlu yang termasuk dalam akta dan sebagainya iaitu kita buat apabila dah menang nanti, ahli parlimen diminta isytihar harta terlebih dahulu.
“Tetapi, tak semua (ahli parlimen) yang (perlu) mengisytiharkan harta… ahli parlimen tak payah mengisytiharkan harta sebab mereka pun boleh berniaga, tetapi menteri, timbalan Menteri, mereka wajib mengisytiharkan harta dan memang kita mengisytiharkan harta,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Bera, hari ini.
Sebelum ini, calon Pakatan Harapan(PH) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diwajibkan mengisytihar harta.
Calon PH bagi Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menjadi antara tumpuan umum selepas mengisytihar harta sebanyak RM18.85 juta.