12 NOV : Kerajaan komited untuk membangunkan pembangunan e-sukan di negara ini dengan jumlah peruntukan sebanyak RM13 juta dalam Bajet 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, E-sukan sudah tidak asing lagi dalam kalangan belia dan tanggapan masyarakat juga sudah berubah terhadap e-sukan, yang kini sudah mampu menjadi kerjaya kepada anak muda.
Katanya lagi, Industri e-sukan dunia juga sedang giat berkembang dan ia dijangka mampu menjana pendapatan sehingga RM7.56 bilion pada tahun 2024.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Miat Quadra E-Sport Club kerana menganjurkan Santai eGames, yang berjaya menarik penyertaan hampir 300 anak muda Bera.
Pasukan ini juga akan mewakili Malaysia di Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang M4 pada tahun hadapan di Jakarta.
“Saya dimaklumkan juara Liga Profesional Mobile Legends (MPL) MY musim ke-10, Team Haq Esports Club yang menduduki ranking ke 4 dunia, juga hadir untuk memeriahkan karnival pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Keluarga Malaysia Anak Muda GEGOR Bera bertempat di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan sedar Pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada sebilangan besar Keluarga Malaysia sehingga ada yang kehilangan pekerjaan dan masih menganggur.
Sehubungan itu, Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia sentiasa mengambil langkah memastikan kebajikan pekerja dan majikan termasuk mereka yang terlibat dalam ekonomi baharu seperti Gig. Ekonomi gig kini menjadi alternatif untuk Keluarga Malaysia menjana pendapatan.
Jika pada tahun 2020, hanya segelintir gig riders dilindungi, kini lebih 260,000 mendapat perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO, setelah Kerajaan turut menyumbang kepada carumannya.
“Selain itu, program kemahiran semula dan penjanaan pendapatan juga diperkenalkan untuk mereka yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan apabila syarikat yang menjadi tempat mereka bekerja terpaksa mengurangkan operasi atau ditutup,” ujarnya.
Selain itu, kata Ismail Sabri, kerajaan telah mengambil inisiatif bagi memudahkan rakyat untuk mendapat pekerjaan dengan mewujudkan Portal MYFutureJobs yang diiktiraf sebagai Portal Pekerjaan Negara kendalian PERKESO.
“Sehingga 28 Oktober 2022, portal ini telah berjaya membantu 682,681 individu dari pelbagai kategori mendapat pekerjaan di seluruh negara.
“Selaras dengan transformasi digital negara, HRD Corp juga memperkenalkan aplikasi super MyHRDCORP, yang menawarkan semua perkhidmatan, maklumat dan inisiatif dalam satu platform dan kini mempunyai lebih 12,000 pengguna,” ujarnya.