Kerajaan tidak abai isu LCS, tindakan sewajarnya telah diambil
12 NOV : Kerajaan tidak pernah mengabaikan isu Kapal Tempur Persisir (LCS) begitu sahaja dan telah mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu perolehan aset ketenteraan berkaitan perkara itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, agensi bertanggungjawab telah menjalankan siasatan, malah pihak terlibat dalam penyelewengan didakwa di mahkamah.
“Isu LSC tindakan dah pun diambil, Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) juga telah buat kenyataan dan perjelas beberapa kali.
“Mereka yang dituduh terlibat dengan penyelewangan dan sebagainya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah menyiasat dan ada yang dibawa ke mahkamah, jadi perkara itu adalah sedang berjalan, tidak betullah jika kata kita tidak mengendahkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Bera hari ini.
Ismail Sabri berkata demikian ketika menjawab kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilapor meminta beliau memohon maaf kepada tentera berhubung isu perolehan aset yang timbul dalam pasukan keselamatan itu.
Anwar kata Ismail Sabri, sengaja atau dilihat tidak mahu mengambil tahu apa yang berlaku kerana penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan sudah dijelaskan sebelum ini.