12 NOV : Janji pendidikan tinggi percuma untuk anak golongan B40 bukan retorik, sebaliknya akan dipenuhi jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini, demikian tegas Calon BN Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Mohd Zuber Embong.
Beliau berkata semua yang ditawarkan dalam manifesto gabungan itu sudah mengambil kira kemampuan kewangan negara dan bukannya dirangka secara rambang.
Katanya, pendidikan tinggi percuma kepada golongan B40 di semua universiti dan intitusi pengajian tinggi awam akan diusahakan untuk dilaksanakan segera sebaik BN diberi mandat membentuk kerajaan pada PRU15.
“Saya sendiri akan bangkit dan mencadangkan agar pendidikan tinggi percuma kepada golongan B40 disegerakan jika terpilih memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15,” katanya.
Mohd Zuber yang juga bekas Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menemui peniaga dan pengunjung Pasar Tani Hiliran, di Kuala Terengganu, hari ini.
Mohd Zuber akan menentang penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim daripada Perikatan Nasional (PN); calon Parti Pejuang Tanah Air, Mohd Abu Bakar Muda dan wakil Pakatan Harapan (PH), Raja Kamarul Bahrin.
Beliau yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Undangan negeri (DUN) Terengganu, berkata pimpinan tertinggi BN tentunya sudah membuat kajian terperinci mengenai kedudukan kewangan negara sebelum membuat manifesto.
“Rakyat perlu yakin BN akan menunaikan janji kerana manifesto ini dirangka selepas pimpinan tertinggi parti mendapat input kedudukan kewangan negara. Tidak perlu bimbang, BN akan memastikan semua janji, terutama bagi meringankan beban rakyat ditunaikan,” katanya