12 NOV : Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meluahkan rasa sedih dengan tindakan vandalisme yang dilakukan terhadap poster-poster BN di kawasan itu.
Menurut beliau, poster-poster BN sengaja disimbah cat, diconteng dan dirosakkan dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) kali ini.
“Sudah empat kali pilihanraya di sini, perkara seperti ini tidak pernah berlaku. Tapi pada PRU kali ini, ada pihak sengaja rosakkan poster-poster BN.
“Sehubungan itu, kami sudah membuat laporan polis berkenaan hal itu. Kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku di Putrajaya.
“Putrajaya ini tempat yang aman, saya sebagai wakil sudah empat penggal di sini, kita didik warga Putrajaya supaya bersama-sama bersatu padu, mempunyai satu etika yang baik.
“Saya sarankan kepada pihak yang terbabit, hentikanlah perbuatan mungkar seperti ini. Kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku dalam kempen di Putrajaya,” ujarnya kepada pemberita hari ini.
Beliau seterusnya menyeru agar kempen dijalankan dengan aman, secara sihat tanpa ada sebarang provokasi melampau.