12 NOV : Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali yakin dapat merampas kerusi parlimen berkenaan setelah dua penggal dikuasai Pakatan Harapan (PH) .
Walupun pertama kali dicalonkan, namun rekod baik BN yang telah mentadbir negara lebih 60 tahun diyakini dapat membantu kemenangannya untuk berkhidmat kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Saya tidak ada masalah kerana BN sebuah parti yang diketahui mempunyai track record sepanjang 62 tahun memerintah negara sejak kemerdekaan.
“Apabila dipilih, saya berazam untuk merampas kembali Hang Tuah Jaya dan tidak mustahil pengundi di sini akan memilih BN semula,” katanya.
Mohd. Ridhwan merupakan anak anak sulung kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Beliau juga merupakan antara pemimpin termuda dalam Dewan Negara sebagai senator sejak Mac 2022, bagaimanapun menjelaskan beliau tidak mahu dibayangi populariti bapanya dalam memenangi hati pengundi sepanjang kempen PRU-15 ini.
Pada PRU15, Mohd. Ridhwan kali ini ditentang calon PH, Adam Adli Abd. Halim, 33; calon Gerakan Tanah Air (GTA), Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh, 40, dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Azrudin Md. Idris, 41.