13 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan usaha memperkasakan komuniti kaum India di negara ini khususnya di Bera akan dipertingkatkan jika beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Bera.
Beliau berkata kerajaan di bawah pimpinannya sentiasa menjaga kebajikan, kepentingan dan keperluan semua ahli Keluarga Malaysia termasuk kaum India.
Ini dapat dilihat menerusi Bajet 2023 dengan pelbagai inisiatif khusus untuk masyarakat India dibentangkan seperti peruntukan RM100 juta bagi pembangunan usahawan kaum India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) yang kini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Sebanyak RM25 juta lagi bagi program Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi disediakan.
“Malah Kabinet juga telah meluluskan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi pembangunan kaum India,” katanya semasa berucap pada program Sembang Santai Bersama Masyarakat India di Triang di malam tadi.
Menyentuh secara spesifik di Bera, Ismail Sabri berkata peruntukan juga diberikan kepada permohonan seperti baik pulih kuil dan bantuan lain khusus kepada kaum India di situ.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov ini sebagai hari pengundian manakala 15 Nov adalah hari pengundian awal.