14 NOV : Sebanyak 22,265 permohonan PerantiSiswa bagi anak-anak Keluarga Malaysia di Sarawak telah diluluskan dan daripada jumlah itu, sebanyak 16,505 atau 70 peratus tablet telah pun diagihkan kepada mahasiswa yang layak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau juga difahamkan bahawa sesi agihan turut dijalankan di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pada hari ini melibatkan lebih 400 mahasiswa di sekitar Sibu
“Program PerantiSiswa ini merupakan komitmen kerajaan dalam membangunkan infrastruktur digital di seluruh negara agar akses infrastruktur digital berkualiti tinggi dan meluas dapat menjadi asas kepada transformasi ekonomi, sosial dan pembangunan tenaga kerja berkaitan.
“Di bawah Bajet 2022, Kerajaan memperuntukkan RM450 juta bagi melaksanakan Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia dan setiap pelajar yang layak akan menerima sebuah peranti berbentuk tablet secara percuma dan berjenama, berkualiti tinggi, mempunyai spesifikasi yang terkini dan disertakan jaminan daripada pengilang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam program Pembukaan Jalan Seksyen Selangau di tapak jejambat Selangau di Sibu hari ini.
Sejak pelancarannya September lepas, 350,000 permohonan telah diluluskan dan lebih 220,000 atau 60 peratus tablet telah diedarkan kepada pelajar-pelajar dalam kalangan keluarga B40.