14 NOV : Barisan Nasional (BN) yakin dapat merampas kerusi Parlimen Sungai Buloh dan Kuala Selangor yang disandang Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke 15 kali ini.
Bendahari Agung BN Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia dapat dilihat daripada semangat pengundi di dua kawasan berkenaan, yang turun pada kempen-kempen BN sejak minggu lepas.
“Ini satu petanda baik, tetapi saya mahu nasihatkan kepada jentera kita supaya jangan toleh ke belakang dan teruskan momentum, kerana tinggal beberapa hari lagi untuk mengundi yang merupakan tarikh keramat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri karnival sukan bola sepak di Bestari Jaya di sini.
Turut hadir calon BN bagi Parlimen Kuala Selangor Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Hishammuddin berkata beliau yakin, Tengku Zafrul mampu memberikan khidmat yang cemerlang sebagai Ahli Parlimen kawasan berkenaan, sekiranya beliau dipilih nanti.
“Saya kenal Tengku Zafrul dan kalau dia diberi peluang untuk bersama-sama dengan masyarakat Kuala Selangor, saya percaya beliau dapat menyumbang untuk membangunkan kawasan ini dan akan membantu semua penduduk Kuala Selangor tanpa mengira kaum atau agama,” katanya.
Dalam pada itu Hishammuddin menyelar kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, bahawa mengadakan PRU15 pada musim monsun timur laut adalah satu kesilapan.
Beliau berkata Amirudin sepatutnya sedar dengan kenyataannya itu, kerana beliau antara pemimpin yang dicalonkan paling awal bertanding untuk mewakili PH di Parlimen Gombak.
“No retreat no surrender, kita sudah pun bubar Parlimen, malah calon kita pun sudah kenal, tinggal beberapa hari sahaja untuk kita mengundi, teruskan sahaja pilihan raya ini, bring it on,” katanya.