14 NOV: Golongan muda menyuarakan hak mereka supaya kerajaan yang bakal diwujudkan nanti memperjuangkan hak mereka dengan memperbanyakkan lagi peluang pekerjaan.
Ini kerana, perkara itu menjadi kebimbangan ramai anak muda termasuklah Hakimi Huzaimi, 24, yang menjelaskan beliau bimbang ramai graduan yang tiada tempat dalam bidang pekerjaan berikutan lambakan graduan yang keluar daripada universiti.
“Saya berharap agar kerajaan dapat memastikan semua rakyat Malaysia khususnya fresh grad seperti saya senang dapat peluang pekerjaan, contohnya saya ada pinjaman RM70,000 sebab universiti swasta, jadi gaji saya boleh menampung kos sara hidup dan membayar pinjaman yang saya buat ketika belajar.
“Selain itu harapannya adalah peluang pekerjaan lebih banyak memandangkan negara juga mempunyai ramai pelajar yang graduasi setiap tahun,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi belia, Nur Sarah Akmal Akasyah 22, turut berkata, kerajaan yang bakal diwujudkan itu nanti dapat memperluaskan skop pekerjaan bukan sahaja di bandar, tetapi juga termasuk di luar bandar.
“Selepas kita tengok kegagalan yang berlaku dalam kerajaan pada PRU-14, jadi saya sangat berharap untuk kerajaan dapat memberikan apa yang terbaik seperti yang disebutkan dalam manifesto kali ini. Kita tidak mahu ia sekali lagi diulang bukan kitab suci semata-mata.
“Jadi untuk kami golongan belia ini,saya berharap mereka dapat membuka peluang pekerjaan di luar bandar, sebab sekarang ini bagi mereka yang nak cari kerja, mereka perlu bergerak ke Kuala Lumpur, keadaan ini perlu diubah,” ujarnya.
Dalam hal ini, jelas Nur Sarah lagi, belia hari ini memerlukan pemimpin yang berkaliber dan memudahkan semua pihak dalam mencari penyelesaian bagi setiap permasalahan yang berlaku.
“Hal ini, saya nampak lebih kepada Barisan Nasional (BN), mungkin kerana pengalaman dalam pentadbirannya selama 60 tahun, dan kami tidak mahu meletakkan golongan muda seperti kami dalam risiko, menjadi eksperimen kepada setiap dasar yang ingin mereka lakukan,” ujarnya lagi.