14 NOV : Ketua Pemuda PAS Kawasan Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir memohon untuk berehat daripada jawatan itu menerusi permohonan yang dibuat dalam satu surat ditujukan kepada Setiausaha PAS Kawasan Sik bertarikh 11 November lalu.
Beliau bertindak demikian selepas video ceramahnya yang mendakwa mereka yang mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai kritikan pelbagai pihak.
Mohd Shahiful dalam surat berkenaan menyatakan akan berehat daripada semua jawatan dalam parti untuk tempoh yang akan dimaklumkan kelak.
Menurutnya, permohonan untuk berehat daripada jawatan itu dibuat secara sukarela tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak dan beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku.
“Ucapan di dalam video itu adalah ucapan saya sendiri dan bukan mewakili PAS khususnya Perikatan Nasional (PN) amnya. Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak sama ada di dalam PAS mahupun PN yang terkesan dan tersinggung akan ucapan saya itu,” katanya.
Sementara itu, PAS kawasan Sik juga telah menggantung tugas Mohd Shahiful sebagai penceramah dan pengkuliah PAS di kawasan tersebut dengan serta merta.
Setiausaha PAS Kawasan Sik, Badrul Hisham Abdul Rahman menyatakan, keputusan itu dibuat PAS kawasan tersebut susulan daripada tularnya video berkenaan.
Selain itu, Mohd Shahiful juga diarahkan untuk terlibat dengan sebarang kempen PAS dan diarahkan bercuti sehingga Disember tahun ini.